Friday 4 November 2011

Program Seksualiti Merdeka 2011....??????


KUALA LUMPUR: Program Seksualiti Merdeka 2011 melampaui batas kehidupan bermasyarakat di negara ini serta bertentangan dengan nilai budaya, adat resam, agama dan undang-undang Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Walaupun pihak penganjur menuntutnya sebagai hak asasi manusia di negara yang bebas, Timbalan Perdana Menteri berkata, harus ada batas dengan mengambil kira asas pertimbangan tertentu, khususnya dalam soal hubungan sesama jenis atau amalan luar tabii. 

Beliau berkata, undang-undang negara ini tidak membenarkan perbuatan meliwat seperti dalam hubungan sesama jenis dan semua pihak sudah menerima ketetapan itu.

“Malaysia mempunyai undang-undang, Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, adat resam dan agama. Dalam undang-undang Islam sudah ada lunas dalam hukum syariah, manakala agama lain seperti Kristian juga membantah. Dari sudut Islam, benda ini tidak selari dan kegiatan songsang yang tidak menepati adat resam, budaya dan agama di Malaysia.

“Justeru, saya tidak faham mengapa mereka (penganjur) membuat promosi sebegitu... apakah dia ada muslihat politik dan sebagainya? Rakyat Malaysia tentu ada penilaian sendiri.

“UMNO dan kerajaan berpandangan ia tidak berfaedah langsung,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan dengan guru Bahasa Inggeris yang menyertai Program Mentor Pengajaran Bahasa Inggeris (ELT) anjuran SMR HR Group di sini, semalam.

Sementara itu, Puteri UMNO mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan pendirian mereka berhubung program itu yang amat bercanggah dengan kemuliaan agama dan tata susila masyarakat negara ini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, berkata sikap membisu Anwar setakat ini membawa pelbagai pengertian, manakala Majlis Peguam turut dibidas kerana dilihat semakin hilang arah menjadikan isu hak asasi manusia terlampau sebagai perjuangan utama, sekali gus memalukan profesion undang-undang.

Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Mohd Afandi Yusoff berkata, program itu akan merosakkan imej Malaysia sebagai negara Islam yang disegani pada peringkat antarabangsa dan berharap kerajaan bertindak tegas terhadap penganjur program berkenaan.

“Jika (pihak berkuasa) berdiam diri, golongan ini tentu akan semakin berani serta besar kepala yang boleh menyebabkan gejala berkenaan berleluasa di negara ini,” katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas diambil terhadap penganjur sekiranya program itu bermatlamat mengiktiraf golongan pengamal seks songsang.

Sambil mengaku amat terkejut dengan penganjuran program itu, Nik Aziz berkata, program sebegitu seharusnya dicegah dan ditentang kerana ia adalah kehancuran kepada kehidupan beragama yang mengharamkan amalan homoseks.


sumber : berita harian

Ibu tunggal muda ragut wanita warga emas ditahan...

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal berusia 18 tahun ditahan polis selepas meragut seorang wanita warga emas di tempat letak kereta pasar raya Tesco di Kulai Jaya semalam.

Kejadian berlaku pada jam 6 petang ketika mangsa, Enah Hassan, 59, sedang berjalan menuju ke keretanya selepas selesai membeli-belah. 

Ketua Polis Daerah Kulai Jaya, Supt Zulkefly Yahya, berkata mangsa yang keseorangan ketika itu tiba-tiba dihampiri suspek yang kemudian bertindak merampas dompet yang dipegang mangsa. 

"Selepas meragut dompet mangsa, suspek terus melarikan diri namun tindakan mangsa menjerit meminta tolong berjaya menarik perhatian orang ramai.

"Suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan anggota polis peronda yang kebetulan melalui kawasan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai Jaya hari ini.

Enah cedera di bahagian lutut kiri selepas ditolak suspek yang didapati positif dadah jenis syabu.

Suspek yang berasal dari Kulai dan mempunyai seorang anak berusia setahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Dia kini ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki bersama seorang ibu tunggal beranak empat di sebuah hotel bajet di Senai kerana memiliki 55 gram heroin dan 2.4 gram syabu semalam.

Nilai pasaran dadah yang dijumpai di atas katil suspek berusia 39 dan 35 tahun itu adalah RM2,600.

Mereka turut didapati positif dadah dan kini ditahan reman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. - BERNAMA 


sumber : berita harian


Ujian PSIKOLOGI mengenai PASANGAN anda...


Beberapa hari lepas, ada seorang sahabat saya telah bertanya satu soalan psikologi yang saya kira sangat menarik. Ianya bukan sembarangan soalan kerana daripada jawapan yang diberikan, anda dapat mengetahui sebab mengapa seseorang itu memilih pasangan mereka.

Walaupun ia cuma ramalan psikologi, namun ada juga kebenarannya.

Nak tahu apa soalan tersebut? Baik, saya kongsikan dengan anda. Soalannya berbunyi begini.

Ada 5 perkara berlaku serentak:-
- Air mendidih kat dapur.
- Air paip melimpah kat bilik air.
- Bayi menangis.
- Telefon berbunyi.
- Ada orang ketuk pintu.

Kalau anda diberi pilihan, apakah perkara yang anda akan 'settle' kan terlebih dahulu?

Anda dikehendaki untuk susun perkara 1 ~ 5 tersebut mengikut kepentingan dan keutamaan yang anda fikirkan.

Semua perkara tersebut mestilah diselesaikan.

Susunlah ikut perkara yang anda rasa lebih penting untuk diselesaikan dahulu.

Bayangkan anda sedang mengalami keadaan seperti itu sekarang.

Fikirkan dan timbangkan, apakah perkara yang anda akan selesaikan mengikut keutamaan anda.

Fikir...
Fikir...
Fikir...
Fikir...
Fikir...

OK, dah habis fikir dan buat keputusan?Nak tahu apakah fakta terselindung disebalik jawapan yang anda berikan?

Baik, mari kita semak jawapan anda...

apakah ciri/sifat/perkara yang anda utama dan pentingkan dalam memilih pasangan anda.


* Kalau anda memilih untuk menutup air medidih : menandakan anda mementingkan keselamatan dan kebolehan 'si dia' untuk membimbing anda.

* Kalau anda memilih untuk menutup pili air yang melimpah di bilik air : menandakan anda mementingkan kekayaan,wang ringgit dan harta.

* Kalau anda memilih untuk memujuk bayi yang menangis : menandakan anda mementingkan cinta dan kasih sayang.

* Kalau anda memilih untuk mengangkat telefon yang sedang berbunyi : menandakan anda mementingkan akhlak, budi bahasa dan perlakuan pasangan anda.

* Kalau anda memilih untuk membuka pintu : menandakan anda mementingkan rupa paras, fizikal luaran dan personaliti pasangan anda.

sumber : HMetro.com
 

Penjara tak halang Lindsay berbogel untuk Playboy...


LOS ANGELES: Aktres yang selalu bermasalah, Lindsay Lohan, dihukum penjara 30 hari, semalam, tetapi kemungkinan besar dia hanya akan berada di dalam jel selama satu atau dua hari, kata pihak berkuasa.

Masalah kesesakan kronik di penjara menjadi alasan mengapa Lindsay dibebaskan jauh lebih awal daripada sepatutnya.

Pelepasan awal itu juga membolehkan Lindsay, 25, memenuhi kontraknya berbogel untuk majalah Playboy sebelum hadir untuk menjalani tempoh tahanan singkat minggu depan.

Hakim Stephanie Sautner menjatuhi hukuman penjara 30 hari selepas aktres terbabit mengaku salah melanggar larangan atas kesalahan sebelum ini.

Stephanie mengarahkan Lindsay melapor diri di penjara selewat-lewatnya 9 November ini atau berdepan dengan hukuman tambahan selama 270 hari lagi.

Lindsay bersetuju melakukan khidmat komuniti lebih lama di rumah mayat dan menjalani rawatan psikoterapi lanjut.

Kedua-dua perintah itu pernah dikenakan ke atasnya, tetapi dia gagal melaksanakan kedua-duanya. – AFP


Ulat bulu membawa maut...


MIRI: Selepas tiga jam menjalani pembedahan bagi membuang nanah akibat terkena bisa sejenis ulat bulu berbahaya, seorang pekebun kelapa sawit yang juga bapa kepada 10 anak, akhirnya meninggal dunia di Hospital Miri (HM) di sini, kelmarin.

Bathew Obeyn, 58, dari Kampung Labau Kelulit, dekat sini, dikatakan terkena bisa ulat bulu berkenaan sejak seminggu lalu ketika melakukan kerja pembersihan di ladang kelapa sawitnya menyebabkan jari telunjuk tangan kanannya gatal sebelum membengkak dan bernanah.

Bimbang dengan kesakitan teruk dialami akibat bisa ulat bulu itu, mangsa dibawa ahli keluarganya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di sini, selain turut mendapatkan rawatan secara tradisional.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tetap tidak berubah, malah menjadi lebih teruk sekali gus menyebabkan dia sering mengerang menahan kesakitan sehingga tidak dapat tidur menyebabkan ahli keluarga membuat keputusan untuk menghantarnya ke HM.

Isteri mangsa, Lily Simpol, 40, berkata, sebaik selesai pemeriksaan ke atas suaminya dilakukan, doktor memberitahu pembedahan perlu dilakukan bagi membuang nanah akibat bisa ulat bulu berkenaan, tetapi ia satu tindakan berisiko tinggi kerana suami turut mempunyai masalah lemah jantung.

“Doktor sudah memberitahu kepada saya dan suami bahawa pembedahan membuang nanah itu amat berisiko kerana boleh membawa maut disebabkan suami turut mempunyai komplikasi jantung.

“Tetapi, disebabkan tidak sanggup lagi menahan kesakitan akibat bisa ulat bulu itu, suami tetap mahu meneruskan pembedahan membuang nanah di jari telunjuknya itu,” katanya.

Lily berkata, suaminya menjalani pembedahan kira-kira jam 9 malam, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, selepas jantungnya tidak berfungsi.



Pelajar maut..kereta terbang ke dalam loji najis...

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej swasta yang baru lima hari menyambut ulang tahun kelahiran, maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu melambung ke atas sebuah kereta lain sebelum tercampak ke dalam loji kumbahan di Taman Connought di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Joshua Timothy Louis, 19, memandu kereta Citroen dari Bandar Tun Razak, di sini, gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar pembahagi jalan sebelum melambung ke atas sebuah Proton Satria dan terhumban ke dalam loji kumbahan berhampiran.

Mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia akibat lemas dikeluarkan orang ramai.

Mangsa yang berasal dari Taman Alam Megah, Shah Alam, pelajar diploma teknologi maklumat yang baru lima hari menyambut ulang tahun kelahiran ke-19.

Pemandu Proton Satria yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 38, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas apabila sebuah kereta tiba-tiba terbang di atas bumbung keretanya sebelum tercampak ke dalam ke loji kumbahan itu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...