Friday 4 November 2011

Ibu tunggal muda ragut wanita warga emas ditahan...

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal berusia 18 tahun ditahan polis selepas meragut seorang wanita warga emas di tempat letak kereta pasar raya Tesco di Kulai Jaya semalam.

Kejadian berlaku pada jam 6 petang ketika mangsa, Enah Hassan, 59, sedang berjalan menuju ke keretanya selepas selesai membeli-belah. 

Ketua Polis Daerah Kulai Jaya, Supt Zulkefly Yahya, berkata mangsa yang keseorangan ketika itu tiba-tiba dihampiri suspek yang kemudian bertindak merampas dompet yang dipegang mangsa. 

"Selepas meragut dompet mangsa, suspek terus melarikan diri namun tindakan mangsa menjerit meminta tolong berjaya menarik perhatian orang ramai.

"Suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan anggota polis peronda yang kebetulan melalui kawasan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai Jaya hari ini.

Enah cedera di bahagian lutut kiri selepas ditolak suspek yang didapati positif dadah jenis syabu.

Suspek yang berasal dari Kulai dan mempunyai seorang anak berusia setahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Dia kini ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki bersama seorang ibu tunggal beranak empat di sebuah hotel bajet di Senai kerana memiliki 55 gram heroin dan 2.4 gram syabu semalam.

Nilai pasaran dadah yang dijumpai di atas katil suspek berusia 39 dan 35 tahun itu adalah RM2,600.

Mereka turut didapati positif dadah dan kini ditahan reman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. - BERNAMA 


sumber : berita harian


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...