Friday 4 November 2011

Program Seksualiti Merdeka 2011....??????


KUALA LUMPUR: Program Seksualiti Merdeka 2011 melampaui batas kehidupan bermasyarakat di negara ini serta bertentangan dengan nilai budaya, adat resam, agama dan undang-undang Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Walaupun pihak penganjur menuntutnya sebagai hak asasi manusia di negara yang bebas, Timbalan Perdana Menteri berkata, harus ada batas dengan mengambil kira asas pertimbangan tertentu, khususnya dalam soal hubungan sesama jenis atau amalan luar tabii. 

Beliau berkata, undang-undang negara ini tidak membenarkan perbuatan meliwat seperti dalam hubungan sesama jenis dan semua pihak sudah menerima ketetapan itu.

“Malaysia mempunyai undang-undang, Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, adat resam dan agama. Dalam undang-undang Islam sudah ada lunas dalam hukum syariah, manakala agama lain seperti Kristian juga membantah. Dari sudut Islam, benda ini tidak selari dan kegiatan songsang yang tidak menepati adat resam, budaya dan agama di Malaysia.

“Justeru, saya tidak faham mengapa mereka (penganjur) membuat promosi sebegitu... apakah dia ada muslihat politik dan sebagainya? Rakyat Malaysia tentu ada penilaian sendiri.

“UMNO dan kerajaan berpandangan ia tidak berfaedah langsung,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan dengan guru Bahasa Inggeris yang menyertai Program Mentor Pengajaran Bahasa Inggeris (ELT) anjuran SMR HR Group di sini, semalam.

Sementara itu, Puteri UMNO mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan pendirian mereka berhubung program itu yang amat bercanggah dengan kemuliaan agama dan tata susila masyarakat negara ini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, berkata sikap membisu Anwar setakat ini membawa pelbagai pengertian, manakala Majlis Peguam turut dibidas kerana dilihat semakin hilang arah menjadikan isu hak asasi manusia terlampau sebagai perjuangan utama, sekali gus memalukan profesion undang-undang.

Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Mohd Afandi Yusoff berkata, program itu akan merosakkan imej Malaysia sebagai negara Islam yang disegani pada peringkat antarabangsa dan berharap kerajaan bertindak tegas terhadap penganjur program berkenaan.

“Jika (pihak berkuasa) berdiam diri, golongan ini tentu akan semakin berani serta besar kepala yang boleh menyebabkan gejala berkenaan berleluasa di negara ini,” katanya.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas diambil terhadap penganjur sekiranya program itu bermatlamat mengiktiraf golongan pengamal seks songsang.

Sambil mengaku amat terkejut dengan penganjuran program itu, Nik Aziz berkata, program sebegitu seharusnya dicegah dan ditentang kerana ia adalah kehancuran kepada kehidupan beragama yang mengharamkan amalan homoseks.


sumber : berita harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...