Friday 4 November 2011

Ulat bulu membawa maut...


MIRI: Selepas tiga jam menjalani pembedahan bagi membuang nanah akibat terkena bisa sejenis ulat bulu berbahaya, seorang pekebun kelapa sawit yang juga bapa kepada 10 anak, akhirnya meninggal dunia di Hospital Miri (HM) di sini, kelmarin.

Bathew Obeyn, 58, dari Kampung Labau Kelulit, dekat sini, dikatakan terkena bisa ulat bulu berkenaan sejak seminggu lalu ketika melakukan kerja pembersihan di ladang kelapa sawitnya menyebabkan jari telunjuk tangan kanannya gatal sebelum membengkak dan bernanah.

Bimbang dengan kesakitan teruk dialami akibat bisa ulat bulu itu, mangsa dibawa ahli keluarganya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di sini, selain turut mendapatkan rawatan secara tradisional.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tetap tidak berubah, malah menjadi lebih teruk sekali gus menyebabkan dia sering mengerang menahan kesakitan sehingga tidak dapat tidur menyebabkan ahli keluarga membuat keputusan untuk menghantarnya ke HM.

Isteri mangsa, Lily Simpol, 40, berkata, sebaik selesai pemeriksaan ke atas suaminya dilakukan, doktor memberitahu pembedahan perlu dilakukan bagi membuang nanah akibat bisa ulat bulu berkenaan, tetapi ia satu tindakan berisiko tinggi kerana suami turut mempunyai masalah lemah jantung.

“Doktor sudah memberitahu kepada saya dan suami bahawa pembedahan membuang nanah itu amat berisiko kerana boleh membawa maut disebabkan suami turut mempunyai komplikasi jantung.

“Tetapi, disebabkan tidak sanggup lagi menahan kesakitan akibat bisa ulat bulu itu, suami tetap mahu meneruskan pembedahan membuang nanah di jari telunjuknya itu,” katanya.

Lily berkata, suaminya menjalani pembedahan kira-kira jam 9 malam, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, selepas jantungnya tidak berfungsi.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...